Sunday 26 June 2011

TAZKIRAH: Penghayatan Surah al-Fatihah- ayat 7

Penghayatan Surah Al-Fatihah-Ayat 7


صِرَاطَ الَّذِينَ أَنعَمتَ عَلَيهِمْ غَيرِ المَغضُوبِ عَلَيهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ

Maksudnya : “ Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang telah Engkau murkai , dan bukan pula (jalan ) orang-orang yang sesat.

Yakni jalan orang-orang yang Allah kurniakan nikmat-Nya kepada mereka bukan jalan orang-orang yang dimurkai-Nya, iaitu mereka yang mengenal jalan yang benar, kemudian mereka menyimpang darinya atau mereka yang sesat terus dari mula-mula lagi dari jalan yang benar. Jalan yang lurus ialah jalan orang-orang yang berbahagia, yang mendapat hidayah dan sampai kepada Allah.

Menurut hadis Nabi (s.a.w) orang yang dimurkai itu ialah kaum yahudi dan nasrani. Selain itu ada juga Ahli Tafsir yang memberikan huraian lanjut mengenainya dengan mengatakan bahawa “ orang-orang yang dimurkai Allah” ialah orang-orang yang mengingkari atau menyembunyikan sesuatu perkara agama yang telah diketahuinya betul dan benar, atau orang yang tidak mahu menerima sesuatu hukum agama yang sampai kepadanya dengan keterangan-keterangan yang sah kerana beberapa sebab yang mempengaruhi jiwanya seperti : perasaan taksub atau fanatik kepada sesuatu pendapat, keinginan hendak menjaga nama dan taraf serta kedudukannya, atau kehendak bagi menghormati sesuatu keadaan masyarakat.

“Orang-orang yang sesat” pula ialah orang-orang yang tidak berpengetahuan agama kerana tidak berusaha untuk mempelajarinya atau orang yang berpengetahuan agamanya yang tidak betul, kerana dipelajarinya dengan tidak menurut peraturan dan jalan yang sebenarnya.



Tazkirah DBR MPKB-BRI/ Tafsir 2011/ Siri: 6

No comments:

Post a Comment