Sunday 26 June 2011

TAZKIRAH: Penghayatan Surah al-Fatihah- ayat 5


Penghayatan Surah Al-Fatihah-Ayat 5

إِيَّاكَ نَعْبُدُ وإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ (5)

Maksudnya: “Hanya Engkaulah yang kami sembah dan Hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan.”
Ini satu lagi aqidah pokok yang lahir dari aqidah – aqidah pokok yang lepas yang telah diterangkan di dalam surah ini, iaitu aqidah tiada ibadat melainkan untuk Allah dan tiada permohonan pertolongan melainkan kepada Allah. Di sini juga satu lagi persimpangan jalan, iaitu persimpangan jalan yang memisahkan di antara kebebasan mutlak dari seluruh bentuk perhambaan dengan perhambaan mutlak kepada sesama manusia.

Aqidah ini merupakan sebuah pengisytiharan hari keputeraan kebebasan manusia yang mutlak dari perhambaan kepada peraturan- peraturan dan undang-undang yang diciptakan manusia. Andainya Allah itu sahaja Tuhan yang disembah dan dipohon pertolongan maka selama itulah hati manusia bebas dari perhambaan kepada peraturan-peraturan dan undang-undang ciptaan manusia dan dari perhambaan kepada tokoh-tokoh sebagaimana ia bebas dari perhambaan kepada dongeng-dongeng dan kepercayaan-kepercayaan yang karut-marut.


Bagi seseorang Muslim kuasa-kuasa manusia itu terbahagi kepada dua jenis: Satu kuasa yang mendapat hidayah, yang beriman kepada Allah dan yang menurut jalan Allah, kuasa inilah yang harus disokong olehnya dan diberi kerjasama untuk menegakkan kebajikan, kebenaran dan kebaikan. Satu lagi kuasa ialah kuasa yang sesat yang tidak mempunyai hubungan dengan Allah dan tidak mengikut jalan-Nya. Seorang Muslim tidak harus gentar kepada kuasa-kuasa yang sesat itu sama ada besar atau zalim, kerana kuasa yang sesat dan terputus dari kekuasaan Allah tidak lagi mempunyai kekuatan yang haqiqi, ia telah kehilangan makanan tetapnya yang dapat memelihara tenaga kekuatannya.

Petunjuk ayat ini ialah Allah SWT sahajalah tempat berpusatnya segala bentuk ibadat dan tempat pergantungan. Ibadat ialah suatu nama yang merangkumi semua perkara yang dikasihi Allah dan diredhai-Nya daripada perbuatan-perbuatan dan percakapan-percakapan yang zahir mahupun batin. Manakala Allah sebagai tempat pergantungan ialah bergantung kepada Allah SWT didalam menarik kemanfaatan dan menolak kemudharatan yang disertakan dengan thiqah atau keyakinan kepada Allah di dalam menghasili yang demikian.

Di dalam pembahagian Tauhid, ayat ini menunjukkan Tauhid Uluhiyyah iaitu seorang manusia itu mentauhidkan Allah sebagai tempat perhambaan, peribadatan, pergantungan dan pertolongan.
Berkata sebahagian salafus soleh, Al-Fatihah adalah rahsia al-Quran dan rahsia Al-Fatihah pula ialah kalimah ini  إِيَّاكَ نَعْبُدُ وإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ.


Tazkirah DBR MPKB-BRI/ Tafsir 2011/ Siri: 6

No comments:

Post a Comment